Monday, 9 September 2013

Saya Sudah Menonton Tanda Putera

Assalamualaikum...

Minggu lepas setelah hampir beberapa tahun tidak menjejakkan kaki ke panggung wayang, akhirnya filem TANDA PUTERA telah menyebabkan saya ke sana. Seperti yang kita semua ketahui, filem ini telah mengalami pelbagai kontroversi bermula dari tarikh tayangan hinggalah kepada jalan ceritanya. Semasa filem ini baru tayangkan, kita dapat melihat pelbagai reaksi oleh rakyat Malaysia mengenai filem ini. Oleh yang demikian, saya merasakan tidak sepatutnya saya membuat komen mengenai filem ini sebelum melihatnya.
Ditemani dengan anak saudara, saya menonton filem ini yang berdurasi 2 jam. Pada pendapat saya yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, filem ini mengisahkan dua orang negarawan Malaysia iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail. Dalam menceritakan kisah hidup mereka, situasi 13 Mei dijadikan salah satu plot utama yang menggambarkan bagaimana mereka berdua berganding bahu dalam menghadapi situasi tersebut.



Apa yang saya lihat juga, filem ini telah menunjukkan bahawa pihak komunis adalah dalang sebenar di sebalik kejadian tersebut dimana PEMIMPIN KOMUNIS ini telah menghasut orang-orang Cina dalam melakukan rusuhan kaum pada masa tersebut. Saya tidak melihat apa-apa yang melibatkan parti politik yang berkenaan sebagai punca utama rusuhan ini terjadi berdasarkan plot filem ini. Jadi tidak timbul rasanya cerita yang kita semua dengar mengenai kontroversi filem ini dengan parti politik tersebut.
Seterusnya filem ini menceritakan bagaimana mereka berdua mentadbir negara disamping masing-masing mempunyai masalah kesihatan yang kronik tanpa ketahui oleh orang lain mahupun ahli keluarga. Filem ini diakhiri dengan Malaysia kehilangan Tun Dr Ismail semasa beliau masih memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan seterusnya Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 2 selang beberapa tahun selepas itu. 
Ini adalah pendapat peribadi saya dan ia tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak. Saya syorkan filem ini ditonton seisi keluarga kerana filem ini memberi banyak input dari segi kecintaan kita pada negara serta pemimpin negara, sejarah, persahabatan, kekeluargaan dan juga suasana kehidupan dengan pelbagai kaum di Malaysia ini.

No comments:

Post a Comment